Tuesday, March 24, 2020



Image result for politeknik mersing
MPU 23142 - PENDIDIKAN MORAL
(E-FOLIO)

AHLI KUMPULAN:

KAVINRAJ A/L SURESHRAO
SASVIN A/L RAVICHANDRAN
SANKAR RAO A/L BARTIMALU
NOVEEN A/L PERUMAL


TAJUK : Aktiviti aktiviti sosial dalam membentuk semangat kejiranan dan saling bekerjasama jiran                    tetangga.

PENGENALAN

          Salah satu daripada ajaran yang amat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat ialan amalan hidup berjiran. Secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup seorang diri atau mengasingkan diri. Oleh itu, ia telah menekankan kepentingan menjalinkan hubungan dalam kalngan masyarakat sekeliling. Hubungan yang baik dapat membentuk sifat saling membantu, bekerjasama, saling menyayangi, menghormati dan sebagainya. Agama masing-masing amat menitikberatkan hubungan kejiranan. Hal ini kerana, hidup berjiran merupakan salah satu cara hidup yang harmoni. Dalam konteks kejiranan, manusia perlu saling menghormati dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda. Hubungan baik sesama jiran perlu sentiasa dijaga seperti yang dituntut dalam agama.

        Dalam e-folio ini memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai konsep kejiranan yang sebenar. Disebabkan pada zaman sekarang, konsep kejiranan dalam masyarakat semakin pupus dari masa ke masa. Ini disebabkan semua orang pada masa ini telah sibuk mengejar kejayaan sampai terhampir lupa kepentingan kejiranan. Oleh itu, dalam e-folio ini akan mendedahkan semangat kejiranan, punca punca semangat kejiranan yang semakin luntur, langkah-langkah memupuk semangat kejiranan, kepentingan semangat kejiranan dan kebaikan kejiranan dalam masyarat.


SEMANGAT KEJIRANAN

       Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat. Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar “seperti aur dengan tebing.” Pada zaman kini, hubungan sesama jiran renggang “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”

        Semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Ianya perlu diterapkan dalam diri dan seluruh masyarakat. Jiran perlulah mempunyai semangat dalam menjadikan sesebuah masayrakat yang lebih baik. Kita perlu memelihara semangat kejiranan kerana ianya dapat mengukuhkan dalam sesebuah masyarakat. Bermula daripada semangat kejirana inilah terjalinnya perpaduan yang teguh. Perpaduan yang teguh menjadi dasar pembangunan negara ke erah yang lebih baik serta mencapai status negara maju. Jiran Sepakat Membawa Berkat, kata-kata ini menunjukkan bahawa kesepakatan dalam masyarakat dapat menghasilkan sesuatu yang baik.

         Semangat kejiranan dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Masyarakat yang mengamalkan sifat yang baik seperti tolong-menolong, saling bertegur sapa dan menjaga keselamatan masyarakat dapat mewujudkan satu suasana yang tenang dan aman. Masyarakat harus melakukan perkara yang baik mengekalkan keamanan yang terpelihara. Tamsilan yang jelas dapat dilihat dalam aktiviti bergotong-royong, masyarakat sentiasa menghulurkan bantuan antara satu sama lain dalam membersihkan kawasan perumahan. Hubungan jiran bagai aur denagn tebing dapat meningkatkan lagi semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat. Sejajar dengan hal ini, masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman dan harmoni.



         Selain itu, semangat kejiranan yang teguh dapat menjadikan sesebuah masyarakat itu lebih cekap dalam melaksanakan sesebuah program. Hubungan mereka amat akrab dan boleh meningkatkan ramai kenalan dalam sesebuah masyarakat. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar dengan bantuan ramai pihak. Jika masyarakat bertindak bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, sesuatu pekerjaan atau program tidak dapat dilaksanakan dengan cekap. Contohnya, jiran membantu jiran yang lain dalam mengadakan kenduri dengan bersama-sama menyediakan makanan untuk tetamu dan mendirikan khemah untuk para tetamu. Lantaran itu, pekerjaan dapat diselesaikan dengan mudah. Bukan itu sahaja, hubungan yang erat dapat diwujudkan ketika melakukan pekerjaan bersama-sama. Masyarakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang lebih baik.  

      Di samping itu, masyarakat juga boleh memupuk semangat perpaduan. Semangat kejiranan yang mantap dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan perpaduan yang teguh. Perpaduan juga sama pentingnya seperti semangat kejiranan. Kehidupan negara Malaysia memerlukan perpaduan yang teguh. Hal yang demikian, Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan agama. Negara kita dikagumi seluruh dunia kerana mempunyai perpaduan yang erat. Perkara ini dapat dibuktikan dengan kehadiran bangsa Melayu, Cina, India dan bangsa lain dalam sesebuah masyarakat. Setiap kaum perlu mengetahui adat dan tradisi kaum lain untuk mengelakkan daripada menimbulkan isu sensitif. Semangat kejiranan yang mantap dapat mengelakkan situasi ini daripada berlaku kerana hubungan yang erat antara kaum. Oleh itu, masyarakat perlu mempunyai semangat kejiranan yang tinggi supaya dapat mewujudkan perpaduan yang teguh.



      Seterusnya, semangat kejiranan dapat menjadikan sesebuah kawasan itu selamat. Kawasan perumahan perlu ditingkatkan keselamatannya supaya keamanan dalam sesebuah masyarakat terjamin. Kejadian sepertimencuri, merompak dan menculik sering berlaku dalam kawasan perumahan. Masyarakat harus meningkatkan keselamatan kawasan tersebut untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Masyarakat boleh menubuhkan persatuan jiran tetangga dengan membuat rondaan pada waktu malam. Dengan itu, keselamtan penduduk terjamin. Ibu bapa akan berasa lebih senang melepaskan anak-anak bermain di sekitar kawasan perumahan. Kejadian seperti mencuri, merompak dan menculik dapat dielakkan dan dikurangkan. Kesimpulannya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu perkara dapat meningkatkan tahap keselamatan sesebuah masyarakat.

          Secara kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan yang diperoleh daripada semangat kejiranan. Semangat kejiranan amat penting dalam melahirkan masyarakat harmoni, suasana yang aman dan perpaduan yang teguh. Kepentingan semangat kejiranan membawa kebaikan kepada diri masyarakat dan negara. Masyarakat yang maju dalam semua aspek seperti rohani, intelektual dan adab dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju. Untuk mencapai Wawasan 2020, kerjasama semua pihak amat digalakkan supaya dapat merealisasikan perkara ini. Semangat kejiranan yang rapuh tidak menjamin keamanan negara dan memerlukan kesepakatan rakyat Malaysia seperti Jiran Sepakat Membawa Berkat. Oleh itu, semangat kejiranan amat penting dalam kehidupan bermasyarakat.  


  




LANGKAH- LANGKAH UNTUK MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

        Perpaduan merupakan antara elemen terpenting dalam pembentukan sesebuah negara yang harmoni. Perpaduan ini dapat dipupuk dengan semangat kejiranan yang utuh. Sememangnya tidak dapat disangkal bahawa masyarakat yang bersatu padu bermula dengan adanya semangat kejiranan yang tersemai dalam jiwa. Oleh itu, setiap individu haruslah memiliki semangat kejiranan yang tinggi demi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negara yang berbilang kaum. Namun begitu, semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat kini. Justeru, senario ini haruslah disusuli dengan langkah yang efektif supaya dapat dibendung sebelum masalah seumpama ini terus menular menjadi barah yang akan menjejaskan keharmonian negara.

             Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semngat kejiranan, antaranya menghidupkan kembali amalan bergotong-royong .Hal ini membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semak-samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya. Amalan bergotong-royong ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang.Aktiviti ini juga boleh melahirkan semangat kerjasama sesama jiran, bak kata pepatah “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”. Oleh itu, kita mestilah menghidupkan kembali amalan bergotong-royong kerana amalan ini dapat menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

         Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri dan orang Iban yang berjiran dengan penganut Kristian akan mengunjungi jiran mereka pada hari Natal, sekaligus dapat mengeratkan hubungan kejiranan sesama insan. Oleh itu, kempen amalan rumah terbuka harus diperhebatkan lagi agar boleh mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada seluruh warga Malaysia yang mendiami di bumi bertuah ini.

        Setersunya, langkah yang boleh diambil dalam usaha memupuk semangat kejiranan termasuklah mengamalkan amalan ziarah-menziarahi. Amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran. Malah, amalan ziarah-menziarahi ini sangat digalakkan dalam Islam. Misalnya, apabila jiran bertandang ke rumah, sudah semestinya kita akan menyambut baik kedatangan mereka dan melayan mereka dengan penuh adab sopan. Hal ini seterusnya akan melahirkan rasa hormat dan kasih sayang sesama individu. Oleh itu, amalan ziarah-menziarahi wajar dibudayakan dalam masyarakat.

          Akhir sekali, semangat kejiranan yang semakin luntur tidak wajar dipandang enteng. Sebaliknya, perlulah dianggap sebagai satu perkara yang sangat penting dalam masyarakat. Kerajaan haruslah terus melakukan usaha-usaha yang boleh mengukuhkan lagi perpaduan dalam masyarakat di negara kita. Sebesar rumah bermula dengan seketul bata. Oleh itu, perpaduan kaum haruslah bermula semangat kejiranan yang utuh.


KESIMPULAN

          Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri  masyarakat yang berkualiti.  Selain itu , perpaduan juga adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Oleh itu , semangat kejiranan memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

      Semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan.

       Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.